
Waktu Solat Malaysia Zon: Selangor - Imsak: 05:39 | Subuh: 05:49 | Syuruk: 07:01 | Zohor: 13:14 | Asar: 16:39 | Maghrib: 19:23 | Isyak: 20:38

SHAH ALAM, 4 Oktober 2025 – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) buat pertama kalinya menganjurkan Halal Open Day sebagai wadah mendekati masyarakat dan para usahawan, sekali gus memperkukuhkan kebersamaan dalam membangunkan industri halal di Negeri Selangor.
Bertempat di Shah Alam Convention Centre, penganjuran ini bertujuan memastikan para Eksekutif Halal Syarikat serta masyarakat umum memahami peranan dan tanggungjawab dalam memelihara konsep halalan toyyiban yang memberi manfaat kepada semua pihak. Program ini juga menjadi platform membina jaringan kerjasama antara syarikat, agensi kerajaan, serta pelbagai pemegang taruh industri halal di negeri ini.




Antara pengisian utama adalah Seminar Kesedaran Halal yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) JAIS, Yang Berusaha Puan Siti Razmah binti Idris, dengan kehadiran 250 peserta melibatkan usahawan, agensi pembimbing, pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), pengusaha kantin sekolah serta masyarakat awam. Seminar ini merangkumi tiga slot utama:
• Slot 1: Perkongsian pengalaman daripada usahawan berjaya iaitu Wawanis Enterprise dan Little Cat Coffee Café.
• Slot 2: Ceramah mengenai Pensijilan Halal Industri Kotej Negeri Selangor oleh Penolong Pengarah Unit Pensijilan, Bahagian Pengurusan Halal (BPH) JAIS.
• Slot 3: Forum bertajuk Pensijilan Halal: Anda Buntu, Kami Bantu melibatkan wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysi (JAKIM) dan QSR Brands (M) Holding Berhad.
Turut berlangsung, Klinik Bimbingan Halal yang disasarkan kepada 200 usahawan terutamanya Pengusaha Industri Mikro, Kecil dan Sederhana.
Sesi Dialog turut diadakan di akhir program ini.



Serentak dengan itu, Nadwah Penggiat Industri Halal Selangor yang menghimpunkan 300 Eksekutif Halal Syarikat turut diadakan. Para peserta didedahkan dengan taklimat mengenai Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2024 dan Service Level Commitment oleh pegawai BPH JAIS.
Acara kemuncak adalah perasmian Halal Open Day oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin. Hadir sama, Pengarah JAIS, Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd Shahzihan bin Ahmad dan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, YB Tuan Dr. Mohammad Fahmi bin Ngah.

Dalam majlis yang sama, Pengerusi MAIS turut menyampaikan Tauliah Pegawai Pengurusan Halal di bawah Seksyen 121D Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2024, manakala YB Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor menyampaikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Syarikat di bawah agensi pembimbing.


Turut diumumkan pemenang Pertandingan Video Pendek Halal yang telah berlangsung dari 8 September 2025 hingga 22 September 2025 melibatkan pelajar IPT di seluruh negara, dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga diadakan pada hari ini.




Selamat Datang ke Chatbot Halal Selangor JAIS